Feb 27, 2023 - FASSelangor FC mulakan aksi pembukaan Liga Super 2023 dengan langkah kanan dengan kemenangan 1-0 atas Kelantan United FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Kemenangan semalam adalah hasil tandukan Yazan Al-Arab terus ke penjuru gol daripada sepakan penjuru Faisal Halim pada minit ke-40 perlawanan. Selain itu, menurut statistik, Gergasi Merah telah menguasai perlawanan dengan 68% penguasaan bola, 84% ketepatan hantaran, 18 percubaan dan 12 sepakan penjuru.
#SELKLU menyaksikan aksi pertama skuad Gergasi Merah mengharungi perlawanan rasmi Liga Malaysia 2023. Menurut Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe, beliau nampak banyak perkara positif biarpun pasukan masih mencari rentak perlawanan bersama.
"Sebagai jurulatih, saya sangat gembira dengan tiga mata yang kita peroleh. Pastinya ini adalah satu perlawanan yang sukar kerana pemain-pemain masih dalam proses mencari keserasian dan persefahaman di antara mereka.
Selain itu, pemain import seperti Ayron Del Valle dan Yohandry Orozco masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri dengan pasukan. Walau bagaimanapun, secara individu saya nampak mereka telah berikan yang terbaik dalam aksi #SELKLU semalam. Saya nampak hasil yang positif untuk kita terus fokus ke perlawanan seterusnya," tegas Tan Cheng Hoe.
Daripada perlawanan #SELKLU semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
1. Debut pemain baharu Selangor FC musim 2023
Faisal Halim, pemain sayap serta tiga orang pemain import baharu, Noor Al-Rawabdeh, Ayron Del Valle dan Yohandry Orozco telah membuat penampilan pertama mereka dalam saingan Liga Super 2023 bersama skuad Gergasi Merah. Keempat-empat pemain ini telah beraksi sebagai kesebelasan utama pasukan dalam perlawanan #SELKLU semalam.
Biarpun pemain-pemain import pasukan masih dalam fasa menyesuaikan diri, namun keberadaan mereka di separuh masa pertama telah menggerakkan pasukan membuat asakan demi asakan sepanjang perlawanan.
Selain itu, Faisal Halim juga telah membuka akaun bantuan golnya musim ini setelah menghasilkan sepakan penjuru yang tepat ke Yazan Al-Arab lalu menjaring gol.
2. Jaringan pertama musim 2023 Yazan Al-Arab
Pemain import pertahanan yang telah beraksi bersama pasukan sejak musim lalu, telah berjaya menjaringkan gol pertamanya dalam perlawanan #SELKLU semalam. Untuk rekod, beliau telah menjaringkan empat gol untuk pasukan Selangor FC, dua daripadanya adalah daripada gol tandukan set piece.
3.Clean Sheet ke-29 Khairulazhan Khalid
Penjaga gol utama Selangor FC, Khairulazhan Khalid, telah mencapai rekod 29 perlawanan tanpa bolos sejak dari tahun pertamanya bersama Gergasi Merah. Bermula sebagai penjaga gol ketiga musim 2016, beliau menjalankan tanggung jawabnya dengan cemerlang setelah menyelamatkan gawang gol dengan tiga crucial saves dalam perlawanan #SELKLU semalam.
4. Tan Cheng Hoe terus mengekalkan rekod tanpa kalah
Sejak Tan Cheng Hoe mengambil alih pasukan, kemenangan tanpa bolos semalam telah menambah rekod tanpa kalahnya menjadi sembilan perlawanan secara keseluruhan dan lima daripadanya adalah dalam saingan Liga Super.
Walau bagaimanapun, kemenangan semalam tidaklah sempurna tanpa sokongan hebat 6,701 penyokong Gergasi Merah yang telah hadir ke Stadium MBPJ untuk berada di belakang pasukan. Terima kasih kami ucapkan.
Selangor FC berharap pasukan akan mula mendapatkan persefahaman yang baik dan terus meraih tiga mata dalam perlawanan seterusnya. Ayuh Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!